Saturday 10 September 2011

ZUHUD

Zuhud ialah meninggalkan rasa cinta kepada sesuatu yang bersifat keduniaan. Zuhud bukan bererti tidak memiliki perkara-perkara dunia tetapi tidak merasa cinta kepada apa yang dimiliki itu. Orang yang memiliki perkara dunia adalah orang yang mempunyai harta atau apa sahaja yang berkaitan dengan dunia. 

Namun begitu, orang yang memiliki perkara dunia tidak semestinya mencintai apa yang dimilikinya. Orang yang menicintai perkara dunia adalah orang yang hatinya terpaut dengan harta dan apa sahaja yang berkaitan dengan dunia. Orang yang mencintai perkara dunia tidak semestinya memiliki apa yang dicintainya. Orang itu dianggap zuhud apabila hatinya tidak terpaut dan tidak mencintai dunia yang dimilikinya.




Rasa zuhud itu terletak pada hati. Ini bererti semua harta benda, wang ringgit, pangkat dan jawatan yang dimiliki tidak mengganggu hati kepada Allah. Semuanya sekadar melekat pada tangan dan bukan pada hati. Kewujudannya tidak dirasai malah ketiadaannya juga tidak dirasai. Kewujudannya tidak melalaikan hati kepada Allah dan mudah melakukan kebaikan dengan benda yang dimiliki itu. Apabila kehilangannya, hati tidak terganggu dan lalai kepada Allah serta tidak meresahkan. Zuhud kepada dunia ibarat kemuncut pada hujung baju, kewujudannya tidak dirasai, ketiadaannya juga tidak dirasai.


Zuhud yang sempurna adalah menafikan alam dan perkara lain selain Allah. Bukan alam ini tiada tetapi tidak lagi dirasai kehadirannya. Yang dirasai hanya Allah. Keduniaan ialah setiap perkara yang tidak dituntut oleh syarak hingga tidak mendatangkan nilai akhirat. Dunia sebagai tempat bercucuk-tanam (berbuat kebajikan dan amalan soleh) demi akhirat yang kekal abadi selama-lamanya. Setiap manusia berkendak kepada beberapa perkara bagi meneruskan hidup, iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal, kemudahan hidup dan lain-lain.

Oleh yang demikian, sifat zuhud adalah mencari keperluan hidup yang dapat membantu dalam beribadah kepada Allah. Ini adalah zuhud orang awam.


Faedah sifat zuhud : 
           1) Mententeramkan hati kerana tiada sifat tamak dan hasad dengki kepada orang lain.
           2) Menjadikan kehidupan masyarakat saling berkasih sayang kerana tiada anggota masyarakat yang 
                mementingkan diri sebaliknya saling tolong menolong dan prihatin.
           3) Membendung jenayah yang berkaitan dengan harta benda seperti tiada jenayah rompak, pecah
               amanah, rasuah, mencuri, berebut harta pusaka dan lain-lain.


Sumber : Indeks Prestasi Nafsu, Shuib Bin Sulaiman.







No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.